Novel Review: DIA CINTA YANG KUCARI - Rehan Makhtar
Dia... Cinta Yang Kucari, ketabahan jiwa dan kelembutan seraut wajah gadis bernama Luthfiya. Gadis yang terlalu merendah diri di sebalik tudungnya. Luth itulah nama pengganti diri. Hanya seorang sahaja yang berani memanggilnya dengan panggilan Fiya iaitu Fareed Al-Fattah a.k.a. Payed.
Di rumah, Luth sering dipandang sinis oleh kakaknya Luthfina dan di pejabat pula, Payed sering menahan gelora nafsu yang satu itu terhadap Luth.
Fareed Al-Fattah a.k.a. Fayed dan Fadlee Al-Fallah Palee adalah anak kenalan keluarga Luth. Sebagaimana bezanya tingkahlaku Luth dan Fina, tingkahlaku Payed dan Palee juga bagaikan langit dan bumi. Payed seorang yang 'playboy'. Baginya perkahwinan adalah satu ikatan yang akan terus menyekat kebebasan hidupnya.
Pertemuan Luth dan Payed adalah akibat kesilapan Anis (staf Payed) ketika sesi temuduga. Luth yang cemerlang dalam bidang perakaunan sepatutnya ditemuduga oleh Palee manakala Fina pula ditemuduga oleh Payed untuk jawatan pembantu peribadi.
Beberapa minggu Luth bekerja di bawah Payed, Luth semakin rimas dengan tingkahlaku Payed. Namun akhirnya kesilapan Anis ketika temuduga telah dapat dikesan oleh Palee kerana Luth berjaya membantunya menyiapkan laporan kewangan syarikat. Palee bertindak segera dengan menukarkan jawatan Luth kepada pegawai kewangan di bawahnya. Rasa tidak puas hati semakin membuak-buak dan Payed gagal mengawal dirinya. Rasa ingin memiliki dan dahaga melihat keindahan wajah Luth di sebalik tudungnya telah menyebabkan Payed mencium dahi Luth.
Semakin hari, Luth menjauhkan diri daripada Payed. Ciuman di dahi Luth adalah untuk suaminya yang halal. Namun Payed adalah yang pertama melakukannya. Payed semakin dahagakan Luth. Tak dapat memiliki hatinya, miliki jasadnya pun sudah memadai buat Payed.
"Seperti air laut. Makin saya teguk, makin saya dahaga." PAYED
"Saya... wanita yang ditakdirkan menjadi penghilang dahaga suami saya..." LUTH
"Yang dalam planner awak tu? Sampai awak setiap masa cakap rindu?" PAYED
"Dia yang saya rindu, saya sayang dan saya cinta. Selamanya..." LUTH
Hati Payed semakin sakit kerana cemburukan seseorang.
Dalam diam, rupa-rupanya Encik Ahmad Fuad merancang menyatukan Palee dan Luth. Rancangan ini telah menghancur-leburkan sekeping hati insan bergelar ibu. Setiap ibu inginkan yang terbaik buat anaknya. Naluri seorang ibu sentiasa benar. Puan Huda menginginkan Luth menjadi menantunya buat Payed, bukan Palee.
"Payed tu tak jahat. Dia tersalah arah sikit aje. Dan aku janji dengan nyawa aku, aku tak akan benarkan Payed persiakan Luth..." PUAN HUDA
Akhirnya Luth terima pinangan daripada keluarga rakan ayah dan mamanya dengan redha. Dalam masa yang sama, mummy Payed juga telah melamar seorang gadis yang cantik untuknya. Tapi hati kedua-duanya berat untuk menerima cadangan pinangan keluarga kerana tiada cinta yang wujud di hati mereka.
"Tak keterlaluan kalau saya katakan, Encik Payed dah jauh terlanjur. Sementara ada tangan sudi menarik Encik Payed kembali ke pangkal jalan, apa salahnya sambut tangan tu. Boleh jadi Encik Payed akan temui nur melalui isteri Encik Payed sebagaimana saya cakap dekat diri saya, mungkin tunang saya itulah lelaki yang akan membimbing saya ke syurga." LUTH
"Boleh jadi awak tersesat dalam gelap dan kalau kata saya nak kongsi cahaya itu, awak nak tak, ikut cahaya itu untuk keluar dari gelap?" LUTH
"Tapi awak dah bertunang..." PAYED
"Encik Payed juga bakal bertunang, kan?" LUTH
"Saya tak akan lepas dah tangan awak kali ni..." PAYED
Namun begitu sukar bagi Payed untuk mengakui satu perasaan halus telah berada di hatinya. Payed telah mengetahui bahawa Luth bakal menjadi adik iparnya iaitu isteri kepada Palee.
"Encik Payed abang kepada bakal suami saya dan saya juga rasa Palee sedih tengok abang dia macam ni. Sebagai bakal isteri dia nanti, saya tak nak lihat dia sedih." LUTH
"Sayang betul awak dekat dia, kan?" PAYED
Majlis akad nikah Luth pun tiba. Kenapa hati Luth semakin berdebar-debar. Dia semakin keliru. Suara ayah mengakad nikahkannya seolah-olah terdengar nama Al-Fattah disebut dan bukannya Al-Fallah. Adakah Luth yang tersilap?
Akhirnya semasa upacara menyarung cincin, suami yang ditunggu-tunggu Luth berada di hadapannya. Kini Luth sah bergelar isteri Fareed Al-Fattah dan ini jugalah yang menjadi hasrat hati Payed untuk membawa dirinya keluar daripada cahaya gelap. Namun tidak bagi Luth. Kegelisahan kian meruncing dalam dirinya. Adakah Payed dapat menerima parut di pipinya? Luth bukan manusia yang sempurna sejak 10 tahun yang lalu.
Di malam pertama yang sepatutnya indah buat Payed dan Luth telah bertukar menjadi mimpi ngeri buat Payed. Selepas membuka telekung Luth, maka terserlah parut di pipi Luth. Parut yang sungguh menakutkan. Payed rasa tertipu kerana semua orang tahu tentang parut ini, mummy, abah dan Palee. Malam itu juga Payed pulang ke rumah keluarganya meninggalkan Luth keseorangan.
"Fiya tak salah. Fiya tahu Fiya tak cantik tapi Abang Payed pandanglah hati Fiya ni. Hati Fiya memang untuk abang. Hati Fiya berdebar selama ini sebab abang. Fiya nak cinta fitrah Fiya dengan abang dan semoga kita sama-sama mencari cinta abadi." bisik FIYA
Luth pasrah dengan ketentuan Ilahi kerana dia telah menduga nasib yang menimpa ini pasti terjadi.
Majlis resepsi dan doa selamat telah selesai. Payed masih tidak dapat menerima ketidaksempurnaan Luth. Luth berjanji dengan Payed, selepas Palee bertolak ke UK untuk menyambung pelajarannya, Luth akan menceritakan segala-galanya kepada keluarga tentang persetujuan mereka untuk berpisah.
"Fiya minta, abang bertahanlah sikit masa lagi. Nanti bila Fiya dah tak ada dengan abang, abang haruslah berubah. Carilah cinta abadi abang. Cinta Allah dan Rasul. Tak apa tak ada Fiya, janji abang ada Tuhan dan Rasul. Ada mummy dan abah juga Palee. Tak apa tak ada Fiya... tapi abang kena ada agama..." FIYA
"In Shaa Allah, Fiya dah bawa destinasi cinta itu untuk saya dan saya akan berusaha untuk ke arahnya, biarpun tanpa Fiya..." PAYED
Luluh hati Luth bila Payed mengatakan dia boleh mencari cintanya tanpa Fiya.
Siapakah Payed untuk menidakkan ketentuan Allah. Hatinya mula rasa berat untuk melepaskan Luth. Semasa pulang dari KLIA, mereka telah berbincang untuk memberi peluang yang kedua kepada diri masing-masing. Disebabkan rasa tidak sabar abah Payed, Encik Fuad telah menampar Payed apabila mengetahui niat Payed ingin melepaskan Luth. Payed rasa tercabar kerana seolah-olah Luth tidak menjaga maruahnya di hadapan keluarga bila mana Luth hanya diam dan melihat perlakuan abah kepada suaminya. Payed keluar dari rumah dengan rasa amarah sehingga membuat keputusan pergi ke UK. Namun hasrat Payed tidak kesampaian kerana terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan dirinya koma dan lumpuh.
Sedar dari koma, Payed seakan-akan tidak dapat menerima tamparan hebat apabila disahkan kakinya lumpuh. Dia dapat merasakan Luth kini mentertawakannya. Jika dulu, dia mencela buruknya wajah Luth, kini dia pula seperti tidak berguna lagi, lumpuh dan tidak berdaya.
Sebagai seorang isteri yang kuat di belakang suami, Luth menjaga makan dan pakai Payed dengan tabah walaupun Payed masih sukar menerima kehadiran Luth dalam hidupnya.
"Makanlah sikit, abang. Sejak balik rumah, abang makan tak seberapa. Nanti abang makin sakit...
Lain kali kalau abang tak nak makan, cakap awal-awal. Senang saya tak bawa naik makanan ni." LUTH
"Memanglah kau cakap senang tak payah bawa makanan naik atas sebab kau dah kenyang makan dekat bawah, kan?" PAYED
Dalam keadaan ego Payed tetap mahu menyakiti hati Luth walaupun dia tahu, masakan yang sedap ini milik Luth, bukan mummynya. Payed juga tahu Luth tak akan makan selagi dia tidak menjamah makanan.
Sungguh berat ujian Allah buat Luth. Namun hatinya sangat gembira kerana dengan ujian ini dia telah mendapat kembali sekeping hati kakak kesayangannya, Luthfina. Fina telah menyesal dan memohon kemaafan di atas segala kekhilafan membenci adik sedarah sedaging. Tenang hati Luth bila mendengar Fina membahasakan dirinya Kak Fina dan memanggil Luth, Adik Fiya. Fina dan Kaxx juga telah berazam ingin mengubah diri masing-masing ke jalan yang diredhai.
Ujian Allah buat Luth berakhir dengan insiden Luth jatuh pengsan selepas mengurut kaki Payed. Kala ini barulah Payed benar-benar rasa menghargai cinta seorang isteri bernama Luthfiya. Benarlah kata-kata indah ini, hargailah segala yang ada di depan mata sementara ia masih belum diambil semula...
Adakah Abang Payed berjaya memiliki cinta fitrahnya bersama Fiya di samping mencari cinta abadi hingga ke syurga?
Pendapat Ibu Wawa:
Antara 4 novel Rehan Makhtar yang Ibu Wawa miliki, sejujur-jujurnya inilah novel garapan Rehan Makhtar yang amat menyentuh jiwa Ibu Wawa. Walaupun novel ini tidak terlalu tebal, namun Ibu Wawa mengambil masa 2 hari untuk menghabiskan pembacaan. Setiap bait-bait ayat dalam novel ini benar-benar meruntun jiwa. Rehan Makhtar berjaya menghidupkan watak Luthfiya yang memiliki hati selembut awan dan jiwa setabah ombak sehingga berupaya menarik tangan Fareed Al-Fattah keluar dari kegelapan jiwa. Di sini Ibu Wawa ingin kongsikan:
Kata-kata memujuk LUTHFIYA oleh FAREED AL-FATTAH
"Marah abang?"
"Sedih dengan layanan abang?"
"Nak berpisah dengan abang?"
"Nekad nak berpisah dengan abang?"
"Nak hidup dengan orang cacat macam abang?"
"Sudi maafkan abang?"
"Sudi pimpin abang sepertimana pernah Fiya offer dekat abang?"
"Abang tak berdaya sekarang. Rela jaga abang?"
"Abang nak berubah. Fiya sudi terima abang?"
Sweet sungguh kata-kata Payed buat Fiya. Kata-kata manis Payed, membuatkan hati Ibu Wawa berada di awang-awangan.
Kata-kata manis kenapa LUTHFIYA sangat mencintai FAREED AL-FATTAH
"Fiya pernah tengok abang kena tumbuk dengan Palee bukan sekali. Malah ditengking tapi abang tak balas. Abang senyum aje. Bila Fiya pandang abang, abang hanya senyum biarpun bibir dah pecah. Dan, masa tu Fiya tahu abang sabar orangnya. Walaupun jalan abang terpesong masa tu, tapi sikap sabar abang buat Fiya yakin bila abah dan mama cakap, abanglah calon suami Fiya masa tu... Fiya perlukan seorang suami yang sabar untuk mendidik diri Fiya yang tidak sempurna ni..."
Kepada peminat-peminat novel yang belum memiliki DIA... CINTA YANG KUCARI , novel ini berjaya meninggalkan kesan di jiwa ibu Wawa terutamanya ingin memiliki cinta yang hakiki daripada Allah Yang Maha Esa. Tahniah yang tidak terhingga buat REHAN MAKHTAR kerana buah tangan ini bisa membuat sesiapa sahaja mengalirkan air mata.