September 6, 2009

BULI tapi SAYANG !


aiMaN suka membuli adiknya NawFaL. Sebelum ini, kami hanya melihat sahaja gelagat mereka kerana menganggap semua itu mainan kanak-kanak, sehinggalah suatu hari aiMaN telah mengunci NawFaL di dalam bilik study di rumah mak dan abahku. Kami semua tidak menyangka bahawa aiMaN sanggup mengunci adiknya. Bayangkanlah bagaimana keadaan NawFaL dikunci dalam bilik study yang kecil, tingkap dan kipas bilik yang bertutup. Aku dan emakku adalah antara orang yang paling panik sekali. Mana taknya, NawFaL baru berumur 1 tahun 4 bulan. Apalah yang dia tahu selain menangis.

Pada mulanya kami cuba memasukkan kunci pintu yang disimpan namun usaha ini tidak berjaya. Tambahan pula, NawFaL sudah sedar dirinya dikunci dan menangis dengan kuat. Kami tiada pilihan lain selain memecahkan combol pintu dan nampak NawFaL menangis sambil mengelilingi bilik study. Kuat betul kayu pintu bilik tu. Abah dan adik iparku bergilir-gilir memecahkan pintu bilik. Lama-kelamaan, tangisan NawFaL semakin perlahan. Aku semakin panik. NawFaL sudah berhenti menangis. Aku mengintai di lubang pintu dan dapati NawFaL sedang meniarap keletihan menangis. Sayunya hatiku melihat keadaan anak keduaku. Pandai dia berdikari. Maklumlah, semasa NawFaL berumur 1 tahun 2 bulan, dia sudah ada adik baru. Apabila suamiku pulang dari kedai gunting rambut, NawFaL terdengar suara ayahnya. Apalagi NawFaL menangislah semula. Setelah penat memecahkan pintu, akhirnya dengan satu tendangan sahaja, aku berjaya membuka pintu bilik tersebut lalu memeluk dan mencium NawFaL. Inilah kali pertama, NawFaL menciumku kerana selama ini suamiku adalah segala-galanya buat NawFaL. Hatiku sungguh sebak.
Mulai saat itu, NawFaL semakin rapat denganku. Rupanya ada rahmat di sebalik semua yang berlaku...
Aku dan suami tidak memarahi aiMaN sebaliknya cuba menasihatinya. Alhamdulillah, kasih sayang aiMaN terhadap adiknya berjaya kami lihat apabila dia tidak boleh tidur dengan lena semasa berpisah dengan adiknya satu malam. Semasa hendak lena, aiMaN sering menyebut-nyebut nama NawFaL. Begitu juga dengan NawFaL, walaupun telah dibuli oleh abangnya, dia tetap ingin bermain dengan abangnya. Inilah yang dikatakan "AIR DICINCANG TIDAK AKAN PUTUS".




0 SWEET COMMENT: